Halaman

iPhone 3G S gajet terbaru



Bagi mereka yang bercadang memiliki telefon iPhone 3G keluaran Apple Inc., mungkin anda perlu menangguhkan sedikit masa lagi kerana syarikat itu telah mengumumkan model terbaru telefonnya dikenali sebagai iPhone 3G S.

Menurut Apple, model terbaru itu yang menggunakan singkatan 'S' di hujung nama modelnya merupakan singkatan 'speed' yang akan memberikan tempoh dua kali ganda lebih pantas untuk pengguna melancarkan aplikasi, membuka laman web atau membuka lampiran e-mel.

Ia juga akan memberikan peluang kepada anda mengambil gambar dengan resolusi 3 megapiksel, merakam video dengan mudah, jangka hayat bateri lebih lama dan kawalan menggunakan arahan suara.

iPhone 3G S yang menggunakan sistem operasi iPhone OS 3.0 menawarkan lebih 100 ciri-ciri baru seperti fungsi Cut, Copy and Paste, MMS, Spotlight Search, papan kekunci melintang dan sebagainya.

Di Amerika Syarikat, model terbaru ini ditawarkan dengan harga yang sama bagi model iPhone 3G sebelum ini iaitu AS$199 (RM712) untuk model 16 Gigabait (GB) dan AS$299 (RM1,064) bagi model baru 32GB.

Sempena pelancaran model baru itu, Apple juga mengumumkan harga iPhone 3G sedia ada diturunkan kepada AS$99 (RM356) sahaja.

"iPhone 3G S merupakan telefon yang paling berkuasa untuk Apple dan ciri-ciri barunya akan menarik pengguna," kata Naib presiden kanan, Pemasaran Produk Dunia, Apple, Philip Schiller.

Telefon ini menggunakan sistem grafik OpenGL ES 2.0 standard untuk menawarkan grafik 3D terbaik dan menjadikan permainan di dalam telefon lebih menarik dan pantas.

Selain ciri-ciri tambahan itu, model ini tidak mengabaikan fungsi utamanya iaitu sebuah telefon bimbit dengan menyokong sistem 7.2 Mbps HSDPA untuk rangkaian 3G yang lebih laju.

Bagi kameranya, ciri autofokus memudahkan pengguna untuk fokus, mendapatkan pendedahan cahaya dan kontras terbaik, termasuk ketika mengambil gambar dekat atau mikro.

Anda juga boleh merakamkan klip video berkualiti tinggi dengan terus mengeditnya pada iPhone 3G dengan mudah.

Fungsi baru kawalan suara yang terdapat dalam model ini membolehkan anda hanya perlu menyebut nama atau nombor telefon kepada mikrofon telefon untuk mendail rakan.

Ia juga membolehkan anda mengarahkan telefon itu memainkan muzik, menghentikannya, memainkan lagu lain dan sebagainya.

Bagi yang kerap mengembara, memiliki kompas adalah satu keperluan terutama bagi yang beragama Islam kerana mereka ingin mengetahui arah kiblat apabila berada di tempat baru.

iPhone 3G S mempunyai kompas digital terbina di dalamnya dan kompas itu boleh menunjukkan ke mana arah anda menuju dan dengan GPS terbina dalam, anda boleh mengetahui kedudukan anda.

0 komen:

Catat Ulasan

Catat Ulasan



Related Posts with Thumbnails