Halaman

Selamat datang telefon 3D

Jika kita lihat di panggung wayang, dewasa ini telah banyak filem-filem yang menggunakan teknologi tiga dimensi (3D) ditayangkan kepada umum bagi memberikan pilihan dan kelainan kepada penonton selepas kejayaan filem Avatar.

Walaupun penggunaan teknologi 3D bukanlah perkara baru dalam industri perfileman kerana kita tentu pernah mendengar bapa kita menceritakan bagaimana mereka di zaman kanak-kanak dapat melihat kapak ‘terbang’ ketika menonton di era 1970-an.

Bagaimanapun, teknologi 3D tidak banyak berkembang selepas itu kerana kos pembangunannya yang tinggi dan penonton juga seakan bosan kerana mereka mahukan sesuatu yang lebih nyata.

Lupakan filem 3D itu kerana kita kini ingin memperkatakan mengenai telefon 3D pula kerana dengan telefon 3D, tentu anda boleh melakukan pelbagai perkara seperti menonton di skrin yang lebih besar atau menaip di papan kekunci maya ketika di dalam bas atau keretapi.

Walaupun ia seakan suatu mimpi yang sukar dicapai tetapi usaha-usaha pembangunannya telah dimulakan dan salah satu projek yang diusahakan oleh para saintis ialah melalui Projek 3DPhone yang dimulakan pada Februari 2008.

Projek itu bertujuan untuk membangunkan teknologi dan aplikasi utama yang akan membolehkan telefon bimbit memaparkan imej 3D dengan satu format yang disokong oleh semua peserta industri. Ia bermatlmat membangunkan kesemua fungsi utama dalam sebuah telefon iaitu paparan media, sistem antara muka pengguna (UI) dan aplikasi pengurusan maklumat peribadi (PIM) yang apabila digabungkan mampu memaparkan imej 3D.

Projek itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan disertai oleh enam negara iaitu Turki, Jerman, Hungary, Perancis, Sepanyol dan Finland. 3DPhone ditaja oleh program ICT Masyarakat Eropah yang mana apabila ia siap dilaksanakan, telefon-telefon bimbit akan boleh berkongsi aplikasi dan bahan media dengan produk-produk lain seperti televisyen dan sebagainya tanpa pengguna perlu memakai cermin mata 3D khas.

Selain di Eropah, pembangunan teknologi telefon 3D juga sedang dilaksanakan di beberapa negara di Asia Timur seperti di Korea Selatan dan Jepun.

Pengeluar Korea
Samsung dari Korea Selatan misalnya telah memperkenalkan telefon pintarnya yang mampu menukarkan video atau filem biasa kepada 3D melalui telefon SCH-W960. Selain telefon bimbit, Samsung juga telah memperkenalkan siri televisyennya yang mampu menukarkan video 2D ke format 3D. Telefon SCH-W960 menggunakan skrin sesentuh AMOLED 3.2 inci dan kamera digital 3 megapiksel dengan flash Xenon.

Dengan menggunakan teknologi perkakasan tersendiri, pengguna boleh melaraskan skrin paparan agar tidak perlu memakai cermin mata 3D untuk menonton aplikasi 3D di telefon ini. Produk ini telah dipasarkan di Korea Selatan.

Kerana tidak mahu mengalah dengan rakan senegaranya, LG turut memperkenalkan produk terkininya telefon 3D yang dijangka akan memberi saingan hebat kepada pengeluar telefon pintar yang lain, termasuk iPhone.
Telefon yang masih dalam proses reka bentuk itu, direka oleh Petr Kubik dari Yanko Design mempunyai reka bentuk yang sangat menarik. Jika menggunakan cermin mata 3D, anda boleh menonton wayang gambar dan melakukan kerja-kerja pejabat walaupun sedang berada di luar rumah atau pejabat.

Skrin telefon boleh dibesarkan dengan hanya menyelak panel di pusat paparan dan anda juga boleh mengecaj telefon menggunakan panel solar yang terdapat di belakang telefon. Menarik bukan?

Telefon 3D rekaan Kubik ini mempunyai kesemua elemen yang diperlukan termasuk cermin mata 3D, pen stylus dan skrin yang boleh diperbesarkan. Apliklasi 3D juga akan menyokong kamera dan filem 3D yang ditayangkan, termasuk anda boleh membuat berbual dengan rakan dan keluarga seperti mereka betul-betul berada di hadapan anda!

Sebagai syarikat pengeluar telefon terbesar dunia, Nokia tentu tidak mahu ketinggalan dalam membangunkan telefon bimbit 3D dengan paparan stereoskopik. Nokia telah memperkenalkan prototaip telefon 3D ini tahun lepas di Jerman dan versi demonstrasi itu menggunakan Nokia N810 Internet Tablet.

N810 itu menggunakan skrin khas yang ditempah dan menggunakan perisian khas untuk membolehkan paparan 3D dinikmati tanpa perlu memakai cermin mata khas. Menurut Nokia, syarikatnya masih belum menetapkan tarikh pelancaran produk itu kerana permintaannya masih rendah di samping kurangnya kandungan dan aplikasi yang berasaskan 3D.

Motorola juga telah memperkenalkan telefon lipat 3D yang dikenali sebagai MT810. Walaupun produk itu masih dalam penyelidikan tetapi sumber menyatakan ia akan menggunakan teknologi 720p video untuk paparan 3Dnya.

Kamera definasi tinggi (HD) yang terdapat di dalamnya boleh mengambil gambar 5 megapiksel dan mempunyai flash dengan lampu LED untuk kualiti gambar yang lebih baik. Penutup boleh lipat itu akan memaparkan imej 3D dan juga mempunyai lapisan skrin sesentuh yang menyokong pen stylus.

Sememangnya, teknologi 3D untuk telefon bimbit ini masih belum benar-benar matang untuk kita gunakan sekarang tetapi sekurang-kurangnya dengan perkembangan terkini, kita mengetahui bahawa ia sudah tidak jauh berada di hadapan kita.

Nokia N900 mengagumkan

Hari ini, gergasi telefon bimbit Nokia dalam persimpangan menarik apabila memperkenalkan platform yang bukannya dimulakan dengan nama Symbian tapi mempercayai sumber terbuka sebagai sistem operasi model N900. Sistem operasi Symbian yang mendominasi Nokia tidak akan didapati menerusi N900 apabila model terbabit mendapat kepercayaan Maemo sebagai tulang belakang produk untuk beroperasi.

Peranti N900 boleh diibaratkan laptop kecil dengan kemampuan suara yang menggunakan sistem operasi sumber terbuka.Model ini bertindak sebagai peranti pintar yang sesuai didedikasikan untuk penggunaan Internet.Produk berbentuk mudah lunsur ini menggunakan papan kekunci QWERTY yang mana ia turut membolehkan si pemakainya menyentuh permukaan skrin sekiranya mahu membuat panggilan.

Pada bahagian tepinya pula, Nokia N900 dilengkapi pembesar suara, TV-Out, butang on/off, USB mikro, butang kamera dan butang kunci untuk mengunci telefon yang berbeza dengan fungsi Nokia sebelum ini. Bahagian dalamnya pula menempatkan slot kad microSD sebelum anda menjumpai bateri jenis BL-5J yang turut digunakan untuk model 5230, 5800 dan X6 manakala kad SIM pula dimuatkan di bawah bateri terbabit.

Penguji memuji pengalaman menggunakan antaramuka pengguna (UI) Maemo5 yang mempunyai tahap sensitiviti memuaskan sama ada si pemakainya menggunakan pen ‘stylus’ atau jari.

Papan kekunci dengan tiga baris kekunci mungkin sudah cukup untuk penggunaan perkomputeran walaupun ada pendapat mengatakan empat baris yang sesuai bagi pengguna biasa.Saiznya agak tebal tapi ia tidak mendatangkan masalah kepada penguji namun beratnya perlu dititik beratkan Nokia pada masa akan datang.

Ketahanan bateri jenis 1320mAhnya pula amat mengagumkan yang mana ia mampu bertahan selama tiga hari dengan kemampuan menggunakan rangkaian GSM atau 3G ditambah penetapan WiFi.

Kecenderungan Nokia terhadap Maemo5 nyata berbaloi apabila ia boleh menempatkan pelbagai aplikasi pada empat antaramuka berbeza yang mampu diakses dengan seretkan saja jari anda.Menekan ikon pada sebelah kiri atas akan membawa anda ke menu utama atau jika anda mempunyai aplikasi untuk diletakkan di menu utama, letakkannya di ‘dashboard’ yang disediakan Nokia.

Untungnya, Maemo5 membenarkan kemasan teks lebih baik untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dengan pemaparan nota ringkas dalam kotak kuning yang jelas.Pengguna pula akan mendapati kesenangan melayari Internet menggunakan platform Maemo5 manakala pengguna hanya perlu melukis bentuk bulatan mengikut pusingan jam yang digunakan untuk zum ke atas mana-mana laman web.

Namun, sekiranya mahu membaca laman web sehingga ke bahagian bawah, penguji perlu menyentuh skrin dan meleretkan jari ke bawah walaupun terdapat kekunci atas, bawah, kanan atau kiri yang ditempatkan pada papan kekunci.

Komitmen Nokia untuk sumber terbuka dan pembangunan Maemo harus dipuji malah menerusi gabungan syarikat gergasi telefon bimbit itu dan Maemo yang dilihat menerusi N900 begitu mengagumkan.

Spesifikasi
PRODUK: Nokia N900
HARGA: RM2,280
PENGELUAR: Nokia Inc
PERTANYAAN: Nokia Malaysia Sdn Bhd
TELEFON: 1-300-881-600
LAMAN WEB: www.nokia.com.my

Komen
KESELURUHAN: * * * *
REKA BENTUK: * * * *
INOVASI: * * * * 1/2
DOKUMENTASI: * * * *
NILAI WANG: * * * *
Related Posts with Thumbnails