Halaman

Samsung S8000 Jet



Meneruskan teknologi telefon bimbit dengan fungsi skrin sesentuh penuh, Samsung Electronics (Samsung) baru-baru ini memperkenalkan model terbaru produk telekomunikasinya iaitu Samsung Jet.

Pelbagai fungsi inovasi terkini dilengkapkan pada telefon bimbit tersebut termasuk aplikasi antara muka pengguna yang mudah untuk dikendalikan.


Mengetengahkan konsep 'lebih pintar dari telefon bimbit pintar', model berkenaan menyokong pelbagai aplikasi pengurusan seperti Microsoft Exchange ActiveSync selain navigasi menu mesra pengguna serta penampilan rekaan yang kompak.

Untuk fungsi paparannya, ia dilengkapi skrin 16M WVGA AMOLED 3.1 inci serta disokong dengan resolusi dan kesempurnaan warna yang cukup cemerlang.


Menerusi teknologi paparan TouchWiz 2.0 dan pemproses 800 MHz pula, pengguna bakal merasai pengalaman mobiliti tanpa kompromi seperti ciri ikonik dan antara muka bergerak serta kekunci pintar untuk kemudahan pengurusan kerja.

Selain itu, Samsung turut memperkenalkan pelayar Dolfin Internet bagi memberi kemudahan kepada pengguna mengakses laman web kegemaran mereka terutama rangkaian sosial.

Pelayar tersebut mempunyai kelebihan memaparkan kandungan Internet secara mobiliti menerusi lima skrin secara serentak.

Apa yang menarik, model tersebut juga dilengkapi dengan ciri seperti muat turun pelbagai serta keunikan fungsi pemfokusan laman web hanya menggunakan sentuhan jari.

HTC Touch Pro2



Pereka dan pengeluar telefon mudah alih, HTC Corporation melancarkan produk terbarunya HTC Touch Pro2, baru-baru ini.

Keunikan reka bentuk dengan antara muka yang intuitif dan inovatif menjadikannya seimbang dari segi teknologi dan pengalaman Internet.


HTC Touch Pro2 memaparkan pengalaman komunikasi mudah alih yang ringkas sama ada menerusi suara, teks atau e-mel.

Ia memberikan portfolio yang canggih dan terkini bagi meningkatkan gaya hidup, kerja dan komunikasi


HTC Touch Pro2 menggunakan antara muka HTC TouchFlo terbaru yang berintegrasi dengan versi Windows Mobile 6.1 bagi mendapatkan aplikasi yang lebih konsisten.

Menjadikan navigasi lebih mudah dan intuitif, TouchFlo membawa maklumat penting kepada pengguna antara muka tahap tertinggi, termasuk akses segera, mesej, e-mel, foto, muzik dan cuaca.


Sebagai sebahagian daripada integrasi Windows Mobile kawasan skrin sentuhan telah diluaskan agar menjadi lebih mesra pengguna.

Komitmen HTC bagi menjadikan Internet mudah alih lebih mudah dan menarik, HTC Touch Pro2 memperkenalkan teknologi HTC Push Internet.

Teknologi berkenaan mengurangkan tempoh muat turun dan memindahkan laman sesawang pada telefon mudah alih.

Pengguna boleh memilih semula laman sesawang kegemaran untuk mendapatkan akses serta-merta apabila diperlukan.

Direka bagi golongan profesional, HTC Touch Pro dibina dengan gaya dan kekuatan dalam memberikan pengalaman produktiviti berkuasa pada telefon mudah alih.


Selain komunikasi sentrik dan teknologi Push Internet, Touch Pro2 menampilkan paparan skrin lebar VGA 3.6 inci resolusi tinggi dan papan kekunci mesra jejari QWERTY.

Dengan hayat bateri dan memori yang ditingkatkan, skrin sentuh sensitif, penderiaan lampu sekitaran, Touch Pro2 amat optimum bagi sentuhan dan pengguna yang berurusan menggunakan banyak e-mel.

HTC Touch Pro2 menggunakan suara dalam kaedah baru bagi mencipta salah satu pengalaman paling canggih yang ditemui dalam telefon mudah alih.

Teknologi Straight Talk HTC baru memberikan integrasi antara pengalaman emel, suara dan fon pembesar suara.

Pengguna boleh mengalih emel kepada panggilan persidangan tunggal atau pelbagai secara mudah dan mengubah mana-mana lokasi kepada bilik persidangan.

HTC Touch Pro2 telah berada di pasaran dengan harga runcit RM3,199.

Telefon paling lasak


Walaupun berada dalam suhu kepanasan 60 darjah Celsius dan terjatuh dalam mangkuk tandas namun ia masih boleh berfungsi secara jelas.

Inilah kehebatan rekaan teknologi terkini yang direka khas oleh Sonim Teknologi yang baru melancarkan telefon S1 Land Rover, telefon mudah alih yang canggih dan moden.


Sesuai dengan slogan 'dunia tahan lasak ' yang bergerak. Telefon canggih yang direka khas ini kalis air dan mampu untuk berada dalam air sehingga 30 minit.

Hasil rekaan Ranulph Fiennes ini, kini dijual di pasaran Eropah.

Lebih menarik rekaan teknologi ini turut menyediakan kemudahan dengan kamera kalis air, GPS, lampu suluh, radio FM dan juga pelayar WAP.

Malah ia juga mempunyai satu tambahan lama hayat bateri dengan lebih 1,500 jam dan 18 jam masa bercakap.

Sony Ericsson G700


Kehadiran telefon Sony Ericson G700 jelas menyerlahkan lagi pengalaman dunia mobiliti pengguna masa kini.

Secara jujur, pada peringkat awal menerima model tersebut untuk diguna uji, reka bentuknya tampak ringkas' dan tiada kelainan yang ditonjolkan dari segi rekaannya

Namun, setelah meneliti aplikasi dan sistemnya buat seketika, didapati G700 merupakan sebuah telefon multimedia yang pintar dan bersifat mudah pengguna.


Dimulakan dengan reka bentuknya, telefon yang berbentuk seperti 'candy bar' itu diselaputi dengan binaan plastik warna keemasan, iaitu bahagian hadapan dan belakang mempunyai warna yang sama membuatkan ia tampak teguh seolah-olah dibina berasakan material logam.

Dalam pada itu, lapisan bahagian tengah model tersebut diwarnakan dengan warna hitam bagi menampilkan perbezaan agar tidak tampak kelam.

Tetapi lebih jelas, pengendalian yang cekap sememangnya benar seperti dijanjikan dengan memperlihatkan penerapan teknologi sesentuh pada skrin paparan dan pada masa yang sama model tersebut juga hadir dengan pad kekunci konvensional bagi memudahkan pengendalian pengguna.


Kehadiran layar sesentuh pada skrin paparan itu sangat memudahkan pengendalian aplikasi dan pengurusan tugasan yang pelbagai dapat dilakukan pada suatu masa.

Lebih menarik, pengguna mampu menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) hanya dengan menulis menggunakan pen 'stylus' pada skrin paparan.

Ini kerana model tersebut dilengkapi dengan kemudahan fungsi teknologi pengecaman tulisan tangan (Handwriting recognition).

Di samping itu, kesemua ikon yang tertera pada skrin boleh dikendalikan secara terus dan ini merupakan pintasan terbaik bagi memacu aplikasi yang disediakan menggunakan teknologi sesentuh.

Kehadiran teknologi pintar ini sama seperti ciri yang diterapkan oleh pembuatan telefon pembantu digital peribadi (PDA).

Bagi sudut prestasi pula, model G700 ini menyokong jaringan telekomunikasi generasi ketiga (3G) sekali gus berkemampuan melebarkan lagi aktiviti sambungan dilakukan selain dilengkapi dengan kemudahan WiFi.

Ini adalah bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat akses kepada rangkaian Internet dan menggunakan kemudahan panggilan video.

Pada masa sama, Internet dapat dilayari dengan pantas bergantung kepada capaian kawasan dan rangkaian liputan.

Diperhatikan juga, G700 turut menampilkan antara muka terbaru yang begitu terperinci dalam mengurus tugasan, kalendar, nota dan dokumen.

Bagi pengguna yang masih tidak biasa menggunakan teknologi sesentuh ini, antara muka terbaru yang didapati sangat mudah pengguna itu hanya memerlukan masa yang singkat untuk difahami penggunaanya.

Kemudahan

Dari segi kemudahan audio pula, model ini menyokong fail audio dalam format MP3, AAC dan MPEG4.

Bagaimanapun, ruang simpanan memori terbina dalam hanya berkapasiti 168 megabait (MB), namun model ini menyediakan slot kemudahan kad memori Mikro (M2) bagi tujuan menambahkan ruang simpanan yang lebih luas.

Ruang simpanan tersebut berupaya menyimpan rakaman foto, video, lagu-lagu dan pelbagai fail dan aplikasi luaran secara optimum.

Berteraskan kamera 3.2 mega piksel, meskipun hasil rakamannya tidak sehebat siri telefon Sony Ericsson CyberShot, tetapi ia sudah memadai bagi menghasilkan gambar yang jelas lagi berkualiti.

Ditambah dengan skrin paparan 2.4 inci pengalaman tontonan video boleh dikatakan tidak menghampakan.

Secara keseluruhan, G700 merupakan model telefon yang mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja dan boleh dikatakan mempamerkan ciri -ciri sebuah telefon pintar.

Bayar guna telefon bimbit

Menggunakan telefon bimbit untuk membayar sama ada barangan atau perkhidmatan kini sudah menjadi realiti apabila Maxis Communications Bhd (Maxis) yang menjalin kerjasama dengan beberapa rakan niaga memperkenalkan Maxis FastTap.


Ia menjadikan Malaysia melakar sejarah pertama di dunia menikmati penyepaduan pelbagai perkhidmatan bayaran menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) di dalam telefon bimbit.

Teknologi NFC mengetengahkan standard perhubungan tanpa wayar jarak dekat yang ditanam dalam telefon bimbit untuk membolehkan pengguna membuat bayaran tanpa wang tunai fizikal.

Ia adalah teknologi tanpa wayar yang membolehkan komunikasi berlaku di antara perkakasan sama ada cara bersentuh atau hampir bersentuh pada jarak sekurang-kurangnya lima sentimeter.

Ia bergerak menerusi aruhan (induksi) medan magnet dan beroperasi di atas jalur frekuensi radio tidak berlesen.

Sistem ini juga berasaskan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang serasi dengan kebanyakan rumusan aplikasi pembayaran elektronik yang digunakan di seluruh dunia.

`Tags' atau cip khas ditanam dalam peranti mudah alih termasuk telefon bimbit, pembantu peribadi digital (PDA), terminal NFC seperti sistem pertiketan atau mesin pendaftar tunai.

NFC berpotensi besar untuk diketengahkan kerana kesediaannya bersepadu dengan semua telefon bimbit di dunia. Dengan menyepadukan teknologi itu ke dalam telefon bimbit, pengguna boleh mendapat pelbagai perkhidmatan baru.

Ia juga mudah digunakan kerana pengguna hanya perlu mendekatkan telefon bimbit mereka dengan terminal pembaca.

Lebih 80 peratus penduduk negara ini kini memiliki telefon bimbit dan pelbagai perkhidmatan tambah nilai berjaya diwujudkan oleh penyedia rangkaian daripada hanya perkhidmatan berasaskan suara.

Untuk melaksanakan inisiatif ini di Malaysia, Maxis berkerjasama dengan Nokia, Visa, Maybank dan Touch 'n Go.

Pelanggan hari ini amat bergantung kepada peranti mudah alih dalam kehidupan harian mereka.

Mereka menjangkakan teknologi dan perkhidmatan yang akan memenuhi keperluan menerusi pendekatan baru dan inovatif.

Oleh itu bayaran mudah alih menggunakan telefon bimbit akan memperkayakan pengalaman, menyediakan perkhidmatan tambah nilai di samping menambah pilihan untuk membayar.

Dengan pelancaran Maxis FastTap ini, pelanggan berdaftar dengan perkhidmatan ini boleh menggunakan telefon bimbit Nokia 6212 untuk membayar di lebih 1,800 lokasi pedagang yang dilengkapi peranti Visa payWave, begitu juga untuk membayar tol, pengangkutan, tempat letak kereta dan taman tema di lebih 3,000 pusat Touch 'n Go di seluruh negara.

Pengguna hanya perlu hulurkan telefon bimbit ke terminal khas Visa payWave atau Touch 'n Go.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata kejayaan sesuatu teknologi itu bergantung kepada kesediaan lengkap ekosistem ketika diperkenalkan.

"Atas dasar itulah Maxis berkerjasama dengan Nokia, Visa, Maybank dan Touch 'n Go yang kesemuanya adalah peneraju industri untuk membangunkannya dari peringkat konsep, ujian dan kini ia direalisasikan sebagai yang pertama di dunia menyepadukan perkhidmatan kad kredit dan bayaran pengangkutan," katanya.

"Bagi Maxis, pelancaran Maxis FastTap adalah bukti pencapaian usaha berterusan untuk membawa inovasi yang secara positifnya memberi impak kepada pengguna mudah alih di Malaysia," katanya lagi.

Mengenai tahap keselamatannya, menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Bahagian Strategi dan Perniagaan Baru, Maxis, Dr Nikolai Dobberstein, pengguna tidak perlu bimbang kerana teknologi keselamatan dianggap paling canggih serta tidak mudah diceroboh.

"Faktor keselamatannya tidak diabaikan kerana pengguna perlu mendekatkan atau menyentuh telefon bimbit mereka dengan terminal bayaran untuk mengaktifkan perkhidmatan."

"Kod laluan merupakan salah satu ciri keselamatannya. Pengguna dikehendaki memasukkan kod laluan itu untuk pengesahan dan membolehkan bayaran diluluskan. Bagaimanapun ada pilihan sekiranya hendak membuat bayaran tiket pengangkutan sama ada menggunakan kod atau tidak," katanya lagi.

Setiap peranti NFC juga memiliki beberapa tahap keselamatan untuk memastikan ia tidak disalahgunakan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Pembangunan, Ahli Majlis Kumpulan Eksekutif, Nokia Inc, Mary T McDowell, berkata bagaimanapun telefon bimbit yang menyokong teknologi NFC masih terhad.

"Bagaimanapun pada masa depan Nokia akan memperkenalkan lebih banyak model NFC ke pasaran sejajar dengan hala tuju dan persekitaran pasaran semasa. Dari masa ke semasa ia pasti memasuki pasaran," katanya lagi pada persidangan Nokia Connections 2009 di Singapura baru-baru ini.

Pada 2011, dijangkakan satu daripada tiga telefon bimbit akan berupaya NFC.

Persatuan GSM pernah mengunjurkan pada 2012 iaitu empat tahun selepas pengenalannya di seluruh dunia, akan terdapat 250 juta pengguna NFC di seluruh dunia, sekali gus memacu perolehan sehingga RM7.7 bilion.

Dalam pada itu, Maxis juga dijangka mengembangkan aplikasi NFC ke beberapa bidang perkhidmatan lain yang membolehkan telefon bimbit membaca `poster pintar' yang dilengkapi tag (cip) berupaya NFC.

Pengguna hanya perlu menyentuh atau mendekatkan telefon bimbit ke poster terbabit yang mana ia akan membuka saluran baru untuk mencapai maklumat seperti jadual laluan sistem pengangkutan awam, tawaran istimewa (iklan), kupon dan sebagainya menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia, Visa, Stuart Tomlinson, berkata pelanggan di Malaysia akan terus menikmati manfaat yang sama untuk kepantasan dan kemudahan, sama dengan kad Visa payWave di dalam telefon bimbit.

Katanya, perkhidmatan ini adalah sesuatu yang kita angankan pada masa lalu, sedangkan kini menjadi kenyataan dengan membuat bayaran menggunakan telefon bimbit.

Touch 'n Go pula komited untuk menambah gaya guna kepada pelanggan sekali gus meningkatkan nilai proposisi syarikat itu dalam usahanya menarik minat lebih ramai pengguna.

Pengarah Urusannya, Hasni Zarina Mohamed Khan, berkata dengan aplikasi yang ada, pengguna akan mendapat terminal tambah nilai berperibadi terbina di dalam telefon bimbit Nokia 6212.

"Kelak ia akan membolehkan tambah nilai mobiliti tanpa sentuhan dan segerak dengan hanya satu sentuhan hujung jari," katanya lagi.

>Fakta:

> Maxis FastTap adalah perkhidmatan komersial pertama di dunia menyepadukan aplikasi berbilang NFC untuk pembayaran kad kredit tanpa sentuhan;

> Maxis FastTap adalah perkhidmatan komersial global pertama menggunakan Visa payWave menerusi telefon bimbit berupaya NFC;

> Maxis FastTap adalah pelancaran pertama di dunia menyepadukan kad kredit dengan aplikasi bayaran sistem pengangkutan di atas peranti Nokia 6212; dan

> Maxis FastTap adalah perkhidmatan NFC komersial pertama di dunia bercirikan keperibadian tanpa sentuhan bagi maklumat kad kredit menerusi rangkaian penyedia perkhidmatan mudah alih menggunakan antaramuka Trusted Service Manager.
Related Posts with Thumbnails