Halaman

Sony Ericsson G700


Kehadiran telefon Sony Ericson G700 jelas menyerlahkan lagi pengalaman dunia mobiliti pengguna masa kini.

Secara jujur, pada peringkat awal menerima model tersebut untuk diguna uji, reka bentuknya tampak ringkas' dan tiada kelainan yang ditonjolkan dari segi rekaannya

Namun, setelah meneliti aplikasi dan sistemnya buat seketika, didapati G700 merupakan sebuah telefon multimedia yang pintar dan bersifat mudah pengguna.


Dimulakan dengan reka bentuknya, telefon yang berbentuk seperti 'candy bar' itu diselaputi dengan binaan plastik warna keemasan, iaitu bahagian hadapan dan belakang mempunyai warna yang sama membuatkan ia tampak teguh seolah-olah dibina berasakan material logam.

Dalam pada itu, lapisan bahagian tengah model tersebut diwarnakan dengan warna hitam bagi menampilkan perbezaan agar tidak tampak kelam.

Tetapi lebih jelas, pengendalian yang cekap sememangnya benar seperti dijanjikan dengan memperlihatkan penerapan teknologi sesentuh pada skrin paparan dan pada masa yang sama model tersebut juga hadir dengan pad kekunci konvensional bagi memudahkan pengendalian pengguna.


Kehadiran layar sesentuh pada skrin paparan itu sangat memudahkan pengendalian aplikasi dan pengurusan tugasan yang pelbagai dapat dilakukan pada suatu masa.

Lebih menarik, pengguna mampu menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) hanya dengan menulis menggunakan pen 'stylus' pada skrin paparan.

Ini kerana model tersebut dilengkapi dengan kemudahan fungsi teknologi pengecaman tulisan tangan (Handwriting recognition).

Di samping itu, kesemua ikon yang tertera pada skrin boleh dikendalikan secara terus dan ini merupakan pintasan terbaik bagi memacu aplikasi yang disediakan menggunakan teknologi sesentuh.

Kehadiran teknologi pintar ini sama seperti ciri yang diterapkan oleh pembuatan telefon pembantu digital peribadi (PDA).

Bagi sudut prestasi pula, model G700 ini menyokong jaringan telekomunikasi generasi ketiga (3G) sekali gus berkemampuan melebarkan lagi aktiviti sambungan dilakukan selain dilengkapi dengan kemudahan WiFi.

Ini adalah bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat akses kepada rangkaian Internet dan menggunakan kemudahan panggilan video.

Pada masa sama, Internet dapat dilayari dengan pantas bergantung kepada capaian kawasan dan rangkaian liputan.

Diperhatikan juga, G700 turut menampilkan antara muka terbaru yang begitu terperinci dalam mengurus tugasan, kalendar, nota dan dokumen.

Bagi pengguna yang masih tidak biasa menggunakan teknologi sesentuh ini, antara muka terbaru yang didapati sangat mudah pengguna itu hanya memerlukan masa yang singkat untuk difahami penggunaanya.

Kemudahan

Dari segi kemudahan audio pula, model ini menyokong fail audio dalam format MP3, AAC dan MPEG4.

Bagaimanapun, ruang simpanan memori terbina dalam hanya berkapasiti 168 megabait (MB), namun model ini menyediakan slot kemudahan kad memori Mikro (M2) bagi tujuan menambahkan ruang simpanan yang lebih luas.

Ruang simpanan tersebut berupaya menyimpan rakaman foto, video, lagu-lagu dan pelbagai fail dan aplikasi luaran secara optimum.

Berteraskan kamera 3.2 mega piksel, meskipun hasil rakamannya tidak sehebat siri telefon Sony Ericsson CyberShot, tetapi ia sudah memadai bagi menghasilkan gambar yang jelas lagi berkualiti.

Ditambah dengan skrin paparan 2.4 inci pengalaman tontonan video boleh dikatakan tidak menghampakan.

Secara keseluruhan, G700 merupakan model telefon yang mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja dan boleh dikatakan mempamerkan ciri -ciri sebuah telefon pintar.

0 komen:

Catat Ulasan

Catat Ulasan



Related Posts with Thumbnails