Adakah MMS masih relevan?
Sejak diperkenalkan kira-kira lapan tahun lalu, khidmat pesanan multimedia atau nama singkatannya MMS mula mendapat tempat di hati pengguna selepas teknologi menghasilkan khidmat pesanan ringkas (SMS) beberapa ketika sebelumnya.
MMS mula menjadi kegilaan pengguna terutama remaja kerana mampu menghantar foto kepada rakan atau keluarga tapi ia cerita beberapa tahun lalu. Adakah MMS masih relevan pada masa kini?
Fungsi MMS membenarkan penghantaran imej, bunyi dan video boleh dikatakan pembaharuan moden yang patut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengguna sekurang-kurangnya ia mampu menambah nilai positif dalam teknologi.
Kelebihan MMS yang boleh memuatkan format tertentu memberi kelebihan dalam telefon bimbit pengguna. Antara format yang disediakan termasuk:
1. Teks (jenis tulisan, warna dan lain-lain).
2. Imej (JPEG, GIF)
3. Audio (MP3, MIDI)
4. Video (MPEG)
Ia menjadi kesinambungan protokol SMS namun pastinya, ia lebih praktikal berbanding khidmat berasaskan teks yang hanya mempunyai kadar kandungan maksimum 160 bait.
Perlu diingatkan, mesej MMS tidak mengehadkan saiz fail namun memerlukan rangkaian Generasi Ketiga (3G) bagi membolehkan sesuatu khidmat multimedia dihantar kepada pengguna telefon bimbit.
Tidak dinafikan, ketika fenomena MMS melanda Malaysia suatu ketika dulu, telefon bimbit penulis pun tidak henti-henti menerima foto setiap hari sehingga memenuhkan 'inbox'.
Itu tidak termasuk iklan daripada pelbagai syarikat yang menggunakan servis MMS sebagai medium pengiklanan mereka.
Namun, ia masih tenggelam dengan kehebatan SMS yang lebih digemari sehingga sekali lagi membangkitkan persoalan, mana perginya fenomena MMS di Malaysia?
Mengulas mengenai isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata MMS masih relevan di mata pengguna negara ini, tapi kebanyakan mereka tidak menyedari fungsi itu pada telefon bimbit mereka.
"Tidak dinafikan, MMS tidak begitu popular di kalangan pengguna kerana kurangnya kesedaran mengenainya.
"Tambahan pula, masih terdapat lagi isu ketika konfigurasi telefon bimbit masing-masing yang dikatakan melecehkan sehingga menyukarkan mereka membuat tetapan pada peranti," katanya.
Menurut Shazalli, masalah telefon bimbit sering dipersalahkan apabila pengguna tidak dapat menghantar MMS kepada rakan lain.
"Selain itu, MMS mengehadkan telefon bimbit tertentu untuk ditetapkan," kata Shazalli.
Bagaimanapun, Celcom melihat masalah yang berlaku kepada MMS menyamai SMS apabila ia mula diperkenalkan di pasaran kira-kira lima hingga enam tahun lalu.
"Ia mungkin bergerak perlahan di kalangan pengguna tapi ia boleh beransur pantas dan meningkat dari semasa ke semasa seperti yang dialami SMS satu ketika dulu," katanya.
Menurutnya, MMS masih relevan untuk diaplikasikan pengguna dengan pertambahan bilangan MMS dihantar setiap hari.
"Celcom melihat perkembangan ini sangat konsisten dengan aliran remaja masa kini yang banyak berkongsi foto menerusi rangkaian sosial. Dengan menggunakan servis MMS, ia boleh direalisasikan dengan mudah," ujar Shazalli.
Shazalli berkata, fungsi MMS yang masih relevan turut didorong usaha pengeluar telefon bimbit menghasilkan peranti dengan keupayaan MMS memungkinkannya diperluaskan di kalangan masyarakat.
"Kita melihat fenomena MMS akan melonjak sebaik musim perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina mahupun Hari Ibu tiba apabila jumlah penghantar atau penerimanya bertambah berbanding hari biasa," katanya.
Beliau menjelaskan, Celcom memiliki beberapa program berkaitan perkhidmatan MMS yang mendapat maklum balas baik daripada pengguna.
"Menurut perangkaan, penggunaan MMS meningkat di kalangan rakan dan keluarga sebagai medium perhubungan, contohnya apabila mereka menjadi pelanggan Pelan Celcom 1+5 yang mana pengguna mampu menikmati beberapa kelebihan.
"Antaranya panggilan, panggilan video, SMS dan MMS percuma untuk dihantar kepada lima ahli keluarga lain," jelasnya.
Tambahnya, pelan sama menawarkan penetapan kepada telefon bimbit secara 'default' yang memudahkan.
"Kami mendapati remaja gemar menggunakan MMS untuk menghantar mesej panjang yang digabungkan secara automatik dalam satu MMS bergantung kepada model telefon bimbit tertentu," katanya.
Ketika mengulas mengenai peluang perniagaan untuk syarikat telekomunikasi menerusi MMS, Shazalli berkata ia menjadi salah satu segmen penting untuk setiap organisasi dengan potensi yang luas pada masa akan datang.
"Setiap syarikat telekomunikasi boleh menjana pendapatan dengan menawarkan khidmat MMS kepada pengguna," katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Data Termaju, DiGi, Darren Poon Meng Wei, berkata penggunaan MMS mula meningkat secara konsisten kerana pengguna mula menyedari kelebihan yang boleh dimanfaatkan.
"Pengguna MMS semakin bertambah kerana mereka sedar bahawa khidmat terbabit kaya dengan kandungan jika dibandingkan dengan SMS," katanya.
Menurutnya, pertambahan pengguna MMS didorong kemudahan kandungan multimedia yang meningkat serta pengeluaran telefon bimbit dengan sokongan MMS di pasaran.
"Kami menjangkakan masyarakat di negara ini mampu membawa pasaran kepada keuntungan sekitar 60 hingga 70 peratus berbeza pada 2008 apabila semakin ramai pengguna melanggan perkhidmatan ini," kata Poon.
Beliau turut mengakui perkhidmatan MMS tidak setanding penggunaan SMS, namun percaya ia masih relevan di kalangan rakyat berdasarkan pertambahan penghantaran mesej sebanyak 30 peratus pada 2008 berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, jurucakap Maxis memaklumkan, penggunaan MMS di kalangan penggunanya masih tinggi dan popular ekoran faedahnya yang boleh memberikan ekspresi kepada masyarakat.
"Tentunya ia masih relevan di kalangan rakyat terutama kepada pelanggan Maxis kerana mereka boleh menghantar serta menerima foto atau video selain memindah turun kandungan," katanya.
Maxis melihat perkembangan MMS sebagai memberangsangkan apabila bilangan pengguna yang menghantar foto setiap hari meningkat dari semasa ke semasa.
"Mengikut rekod kami, satu daripada lima pelanggan Maxis adalah penghantar MMS secara aktif setiap tahun dan sehingga kini, kami mempunyai kira-kira dua juta pengguna MMS," katanya.
Maxis turut mengakui lonjakan MMS tidak begitu mendadak ekoran fungsi telefon bimbit yang belum menawarkan ciri untuk khidmat terbabit pada satu ketika dulu.
"Bagaimanapun, kita menyaksikan pengeluar peranti itu memulakan usaha bagi memastikan semua model di pasaran dilengkapi penetapan untuk MMS," katanya.
Menurut jurucakap terbabit, selain segmen pengguna, MMS membantu perniagaan berkomunikasi dengan kaedah menawarkan promosi kepada pelanggan serta rakan kongsi mereka.
"Dari satu sudut perspektif, MMS penting untuk generasi pengguna mudah alih masa depan terutama untuk ekspresi diri dan berkomunikasi," katanya.
Katanya, teknologi semasa mendefinisikan gaya hidup pengguna terutama selepas kehadiran kamera pada telefon bimbit yang menjadikannya ciri penting kepada kebanyakan pemiliknya.
Tidak kira Celcom, DiGi atau Maxis, ketiga-tiganya bersetuju generasi muda adalah pengguna MMS yang disasarkan memandangkan celik teknologi maklumat (IT) mereka seiring perjalanan hidup moden kini.
Namun, ia sepatutnya dimanfaatkan semua pihak tanpa mengira usia sebagai perkakasan komunikasi mendepani SMS. Contohnya, merakam saat kelahiran bayi dan menghantarnya kepada rakan atau keluarga sepantas mungkin.
Selain itu, ia menjadi corak pemasaran baru seperti menghantar promosi kedai yang baru dibuka atau peta untuk ke suatu tempat.
Kelebihan mendapatkan perkhidmatan MMS perlu dieksploitasi sebaik mungkin, namun pengguna perlu berhati-hati dengan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan negatif seperti menghantar gambar lucah.
Amat merugikan apabila melihat teknologi yang sepatutnya dimanfaat untuk tujuan kebaikan dijadikan mangsa kerakusan manusia sehingga mengakibatkan gejala jahat menular ke dalam jiwa.
Sumber : Harian Metro

0 komen:
Catat Ulasan
Catat Ulasan