Acer DX900 dua kad sim
Jarang pengeluar telefon pintar menghasilkan peranti yang mempunyai keupayaan memuatkan dua kad sim dalam satu telefon namun sebaliknya dilihat menerusi jenama Acer.
Sekali pandang, model Acer DX900 ini diperkemas dengan rekaan elegen bersaiz 106 x 60.5 x 17 milimeter yang cukup sesuai memuatkan skrin bagi fungsi sesentuh.
Kerangka hitam yang dihasilkan boleh dikatakan tahan lasak manakala penempatan butang Telefon, Batal dan Navi pada bahagian bawah paling cocok untuk pengguna peranti pintar ini.
Anda akan mendapati kemasan berwarna perak mengelilingi DX900 yang turut memuatkan butang kamera dan kawalan suara.
Sebagai telefon pintar dengan keupayaan skrin sesentuh, Acer bernasib baik kerana saiz 2.8 inci dikira saiz minimum untuk melayari menu di dalamnya yang dibantu pen kawalan (stylus).
Peranti ini dibina berasaskan sistem operasi Windows Mobile bermakna perisian SPB Mobile Shell yang ditawarkan membenarkan hampir empat antaramuka berlainan pada DX900 ini.
Manakala pemprosesan 533MHz menjadikan DX900 tidak selembab beberapa peranti pintar di pasaran.
Bagaimanapun, memori dalaman sebanyak 256 megabait (MB) untuk ROM dan 128MB untuk RAM agak sukar diterima untuk peranti yang melakukan kerja pejabat secara mudah alih.
Pilihan kad memori microSD memang disediakan namun pengeluar perlu memastikan memori dalaman itu sendiri cukup untuk menampung beban kerja pengguna.
Sejajar dengan fungsi dua kad sim, Acer DX900 tidak mendatangkan konflik sekiranya pengguna memiliki dua nombor.Sebagai contoh, sekiranya pengguna sedang menerima panggilan untuk kad sim A, kad sim B masih berfungsi dengan berada dalam keadaan fungsi menunggu.
Dalam hal lain, penulis berupaya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada nombor hubungan pada kad sim B walaupun pada ketika itu menggunakan kad sim A sebagai rangkaian utama.
Perlu diingatkan, slot kad sim pertama menyediakan rangkaian 3G sementara slot kedua hanya memberikan pilihan 2G kepada pengguna.
Fungsi Wi-Fi pada peranti ini bertindak seakan komputer kecil namun pengguna perlu berhati-hati dengan tempoh ketahanan bateri sekiranya mahu DX900 'hidup' lebih lama.
Secara keseluruhannya, Acer DX900 menepati kehendak penulis yang beranggapan peranti ini sesuai bagi pengguna yang sibuk serta kerap berkunjung ke luar negara.
Spesifikasi
PRODUK: Acer DX900
PENGELUAR: Acer
PERTANYAAN: Acer Sales And Services Sdn Bhd
TELEFON: 1800 88 1288
LAMAN WEB: www.acer.com.my
HARGA: RM1,899
Komen
KESELURUHAN: * * * 1/2
REKA BENTUK: * * * *
INOVASI: * * * *
DOKUMENTASI: * * * 1/2
NILAI WANG: * * * 1/2
Sumber : Harian Metro
0 komen:
Catat Ulasan
Catat Ulasan