Halaman

Selamat datang telefon 3D

Jika kita lihat di panggung wayang, dewasa ini telah banyak filem-filem yang menggunakan teknologi tiga dimensi (3D) ditayangkan kepada umum bagi memberikan pilihan dan kelainan kepada penonton selepas kejayaan filem Avatar.

Walaupun penggunaan teknologi 3D bukanlah perkara baru dalam industri perfileman kerana kita tentu pernah mendengar bapa kita menceritakan bagaimana mereka di zaman kanak-kanak dapat melihat kapak ‘terbang’ ketika menonton di era 1970-an.

Bagaimanapun, teknologi 3D tidak banyak berkembang selepas itu kerana kos pembangunannya yang tinggi dan penonton juga seakan bosan kerana mereka mahukan sesuatu yang lebih nyata.

Lupakan filem 3D itu kerana kita kini ingin memperkatakan mengenai telefon 3D pula kerana dengan telefon 3D, tentu anda boleh melakukan pelbagai perkara seperti menonton di skrin yang lebih besar atau menaip di papan kekunci maya ketika di dalam bas atau keretapi.

Walaupun ia seakan suatu mimpi yang sukar dicapai tetapi usaha-usaha pembangunannya telah dimulakan dan salah satu projek yang diusahakan oleh para saintis ialah melalui Projek 3DPhone yang dimulakan pada Februari 2008.

Projek itu bertujuan untuk membangunkan teknologi dan aplikasi utama yang akan membolehkan telefon bimbit memaparkan imej 3D dengan satu format yang disokong oleh semua peserta industri. Ia bermatlmat membangunkan kesemua fungsi utama dalam sebuah telefon iaitu paparan media, sistem antara muka pengguna (UI) dan aplikasi pengurusan maklumat peribadi (PIM) yang apabila digabungkan mampu memaparkan imej 3D.

Projek itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan disertai oleh enam negara iaitu Turki, Jerman, Hungary, Perancis, Sepanyol dan Finland. 3DPhone ditaja oleh program ICT Masyarakat Eropah yang mana apabila ia siap dilaksanakan, telefon-telefon bimbit akan boleh berkongsi aplikasi dan bahan media dengan produk-produk lain seperti televisyen dan sebagainya tanpa pengguna perlu memakai cermin mata 3D khas.

Selain di Eropah, pembangunan teknologi telefon 3D juga sedang dilaksanakan di beberapa negara di Asia Timur seperti di Korea Selatan dan Jepun.

Pengeluar Korea
Samsung dari Korea Selatan misalnya telah memperkenalkan telefon pintarnya yang mampu menukarkan video atau filem biasa kepada 3D melalui telefon SCH-W960. Selain telefon bimbit, Samsung juga telah memperkenalkan siri televisyennya yang mampu menukarkan video 2D ke format 3D. Telefon SCH-W960 menggunakan skrin sesentuh AMOLED 3.2 inci dan kamera digital 3 megapiksel dengan flash Xenon.

Dengan menggunakan teknologi perkakasan tersendiri, pengguna boleh melaraskan skrin paparan agar tidak perlu memakai cermin mata 3D untuk menonton aplikasi 3D di telefon ini. Produk ini telah dipasarkan di Korea Selatan.

Kerana tidak mahu mengalah dengan rakan senegaranya, LG turut memperkenalkan produk terkininya telefon 3D yang dijangka akan memberi saingan hebat kepada pengeluar telefon pintar yang lain, termasuk iPhone.
Telefon yang masih dalam proses reka bentuk itu, direka oleh Petr Kubik dari Yanko Design mempunyai reka bentuk yang sangat menarik. Jika menggunakan cermin mata 3D, anda boleh menonton wayang gambar dan melakukan kerja-kerja pejabat walaupun sedang berada di luar rumah atau pejabat.

Skrin telefon boleh dibesarkan dengan hanya menyelak panel di pusat paparan dan anda juga boleh mengecaj telefon menggunakan panel solar yang terdapat di belakang telefon. Menarik bukan?

Telefon 3D rekaan Kubik ini mempunyai kesemua elemen yang diperlukan termasuk cermin mata 3D, pen stylus dan skrin yang boleh diperbesarkan. Apliklasi 3D juga akan menyokong kamera dan filem 3D yang ditayangkan, termasuk anda boleh membuat berbual dengan rakan dan keluarga seperti mereka betul-betul berada di hadapan anda!

Sebagai syarikat pengeluar telefon terbesar dunia, Nokia tentu tidak mahu ketinggalan dalam membangunkan telefon bimbit 3D dengan paparan stereoskopik. Nokia telah memperkenalkan prototaip telefon 3D ini tahun lepas di Jerman dan versi demonstrasi itu menggunakan Nokia N810 Internet Tablet.

N810 itu menggunakan skrin khas yang ditempah dan menggunakan perisian khas untuk membolehkan paparan 3D dinikmati tanpa perlu memakai cermin mata khas. Menurut Nokia, syarikatnya masih belum menetapkan tarikh pelancaran produk itu kerana permintaannya masih rendah di samping kurangnya kandungan dan aplikasi yang berasaskan 3D.

Motorola juga telah memperkenalkan telefon lipat 3D yang dikenali sebagai MT810. Walaupun produk itu masih dalam penyelidikan tetapi sumber menyatakan ia akan menggunakan teknologi 720p video untuk paparan 3Dnya.

Kamera definasi tinggi (HD) yang terdapat di dalamnya boleh mengambil gambar 5 megapiksel dan mempunyai flash dengan lampu LED untuk kualiti gambar yang lebih baik. Penutup boleh lipat itu akan memaparkan imej 3D dan juga mempunyai lapisan skrin sesentuh yang menyokong pen stylus.

Sememangnya, teknologi 3D untuk telefon bimbit ini masih belum benar-benar matang untuk kita gunakan sekarang tetapi sekurang-kurangnya dengan perkembangan terkini, kita mengetahui bahawa ia sudah tidak jauh berada di hadapan kita.

Nokia N900 mengagumkan

Hari ini, gergasi telefon bimbit Nokia dalam persimpangan menarik apabila memperkenalkan platform yang bukannya dimulakan dengan nama Symbian tapi mempercayai sumber terbuka sebagai sistem operasi model N900. Sistem operasi Symbian yang mendominasi Nokia tidak akan didapati menerusi N900 apabila model terbabit mendapat kepercayaan Maemo sebagai tulang belakang produk untuk beroperasi.

Peranti N900 boleh diibaratkan laptop kecil dengan kemampuan suara yang menggunakan sistem operasi sumber terbuka.Model ini bertindak sebagai peranti pintar yang sesuai didedikasikan untuk penggunaan Internet.Produk berbentuk mudah lunsur ini menggunakan papan kekunci QWERTY yang mana ia turut membolehkan si pemakainya menyentuh permukaan skrin sekiranya mahu membuat panggilan.

Pada bahagian tepinya pula, Nokia N900 dilengkapi pembesar suara, TV-Out, butang on/off, USB mikro, butang kamera dan butang kunci untuk mengunci telefon yang berbeza dengan fungsi Nokia sebelum ini. Bahagian dalamnya pula menempatkan slot kad microSD sebelum anda menjumpai bateri jenis BL-5J yang turut digunakan untuk model 5230, 5800 dan X6 manakala kad SIM pula dimuatkan di bawah bateri terbabit.

Penguji memuji pengalaman menggunakan antaramuka pengguna (UI) Maemo5 yang mempunyai tahap sensitiviti memuaskan sama ada si pemakainya menggunakan pen ‘stylus’ atau jari.

Papan kekunci dengan tiga baris kekunci mungkin sudah cukup untuk penggunaan perkomputeran walaupun ada pendapat mengatakan empat baris yang sesuai bagi pengguna biasa.Saiznya agak tebal tapi ia tidak mendatangkan masalah kepada penguji namun beratnya perlu dititik beratkan Nokia pada masa akan datang.

Ketahanan bateri jenis 1320mAhnya pula amat mengagumkan yang mana ia mampu bertahan selama tiga hari dengan kemampuan menggunakan rangkaian GSM atau 3G ditambah penetapan WiFi.

Kecenderungan Nokia terhadap Maemo5 nyata berbaloi apabila ia boleh menempatkan pelbagai aplikasi pada empat antaramuka berbeza yang mampu diakses dengan seretkan saja jari anda.Menekan ikon pada sebelah kiri atas akan membawa anda ke menu utama atau jika anda mempunyai aplikasi untuk diletakkan di menu utama, letakkannya di ‘dashboard’ yang disediakan Nokia.

Untungnya, Maemo5 membenarkan kemasan teks lebih baik untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dengan pemaparan nota ringkas dalam kotak kuning yang jelas.Pengguna pula akan mendapati kesenangan melayari Internet menggunakan platform Maemo5 manakala pengguna hanya perlu melukis bentuk bulatan mengikut pusingan jam yang digunakan untuk zum ke atas mana-mana laman web.

Namun, sekiranya mahu membaca laman web sehingga ke bahagian bawah, penguji perlu menyentuh skrin dan meleretkan jari ke bawah walaupun terdapat kekunci atas, bawah, kanan atau kiri yang ditempatkan pada papan kekunci.

Komitmen Nokia untuk sumber terbuka dan pembangunan Maemo harus dipuji malah menerusi gabungan syarikat gergasi telefon bimbit itu dan Maemo yang dilihat menerusi N900 begitu mengagumkan.

Spesifikasi
PRODUK: Nokia N900
HARGA: RM2,280
PENGELUAR: Nokia Inc
PERTANYAAN: Nokia Malaysia Sdn Bhd
TELEFON: 1-300-881-600
LAMAN WEB: www.nokia.com.my

Komen
KESELURUHAN: * * * *
REKA BENTUK: * * * *
INOVASI: * * * * 1/2
DOKUMENTASI: * * * *
NILAI WANG: * * * *

Microsoft tampil Kin One, Two

Selepas menghasilkan pelbagai siri sistem operasi untuk vendor telefon, Microsoft mencipta telefon pintar sendiri menerusi Kin One dan Two yang menggambarkan generasi sosial masa depan.
Dari kemampuan untuk memindah turun foto dari telefon Windows terus ke antaramuka dikemaskini dengan menggunakan perkhidmatan seperti Facebook dan Twitter, Kin jelas direka bagi pengguna muda yang gemarkan rangkaian sosial sebagai cara hidup.

Diberitakan, setakat ini Kin hanya diperoleh menerusi syarikat telekomunikasi Verizon dan Vodafone yang mendapat hak ekslusif bagi peranti terbabit.

Kin One memiliki memori 4GB sedangkan Kin Two mempunyai 8GB manakala resolusi kameranya pula menyaksikan Kin One dilengkapi 5.0 megapiksel berbanding dengan Kin Two iaitu 8.0 megapiksel.

Kedua-dua telefon direka Sharp Corp itu mempunyai keupayaan skrin sesentuh dan berupaya fungsi menyunting video yang mampu menarik golongan muda.
Spesifikasi
PRODUK: Microsoft Kin One dan Two
HARGA: tidak diperoleh
RANGKAIAN: 2G, 3G, WLAN, GPRS, EDGE

SKRIN: 2.1 inci (Kin One), 3.5 inci (Kin Two)
KAMERA: 5.0 megapiksel (Kin One), 8.0 megapiksel (Kin Two)
MEMORI: 4GB (Kin One), 8GB (Kin Two)
SAMBUNGAN: bluetooth, USB, WiFi
CIRI: tolakan e-mel, WAP 2.0/xHTML, HTML
AUDIO: MP3/WAV/WMA/eAAC+
VIDEO: MP4/WMV/H.264/H.263
BATERI: Li-Ion

Tips merakam video menggunakan handphone



Proses merakam video kini semakin mudah, apatah lagi dengan banyaknya handphone yang berada di pasaran kini dilengkapi dengan kemudahan merakam video. Jadi untuk mendapatkan kualiti video yang baik, berikut diberikan beberapa tips yang boleh anda amlkan dan praktikkan.

1. Lebih dekat ke objek
Handphone kamera yang berada di pasaran masih ada yang kurang dilengkapi dengan fungsi zoom yang maksima, jadi anda perlu dekatkan sedikit lensa dengan objek yang ingin anda rakamkan.

2. Hati-hati dengan cahaya
Cubalah merakam video dalam keadaan cahaya yang cukup. Ketika merakam di bawah sinaran matahari, jangan membelakangi cahaya kerana objek tersebut akan menjadi gelap.

3. Steady
Jaga keseimbangan, jaga tangan anda supaya jangan goyang ketika merakam. Ini untuk menjaga agar video anda lebih selesa dan menarik ketika ditonton.

4.Hindari guna digital zoom
Dekatkan diri dengan objek yang anda mahu rakamkan bukan dengan menggunakan digital zoom. Penggunaan digital zoom boleh membuatkan kualiti video kurang menarik.

5. Hindari panning
Merakam video dalam gerakan yang pantas kurang menarik kecuali bila diperlukan untuk memperlihatkan keadaan atau situasi sekitar yang kelam kabut seperti keadaan panik, kebakaran dan sebagainya.

Tips hindari radiasi telefon bimbit

Sebenarnya setiap telefon bimbit memiliki tingkat radiasi yang berbeza. Salah satu cara ujian boleh dilakukan dengan menggunakan alat yang dipanggil Microwave Leakage Monitor. Alat tersebut dapat menangkap signal RF yang dipancarkan oleh telefon bimbit. Berikut disenaraikan beberapa tips yang boleh digunakan bagi mengurangkan kesan radiasi telefon bimbit.

1. Ketika anda menelefon atau berkomunikasi, gunakan handsfree headset atau headset bluetooth. Terutamanya ketika memandu.

2. Letakkan telefon bimbit anda jauh sedikit dari kepala @ telinga anda.

3. Tidak digalakkan membuat panggilan telefon dari dalam bangunan. Ini kerana telefon bimbit memerlukan lebih banyak kuasa dan oleh itu akan membebaskan lebih banyak radiasi.

4. Gunakan telefon bimbit di kawasan terbuka.

5. Hindari anak-anak (terutamanya yang masih kecil) dari telefon.

Perlu juga anda ketahui bahawa kekuatan signal @ radiasi terjadi ketika anda menekan butang YES atau SEND untuk menghubungi nombor lain. Oleh itu, jangan terus meletakkan telefon bimbit anda ke telinga ketika menekan butang tersebut, disebabkan kekuatan signal akan terus dipancarkan ke otak. Jadi, anda digalakkan menunggu kira-kira 3-5 saat sehingga sambungan berlaku.

Hati-hati virus telefon bimbit

Kehadiran ribuan kandungan telefon bimbit menimbulkan banyak kemungkinan negatif berlaku sekiranya pengguna tidak memberi perhatian serius terhadap kandungan yang dipindah turun.

Kalau komputer peribadi (PC) pun mengundang penjenayah siber mengeksploitasi platform terbabit untuk mencari keuntungan pantas, apatah lagi peluang menceroboh platform telefon bimbit yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Telefon bimbit terutama telefon pintar juga boleh dijangkiti virus dan masalah ini semakin meningkat berbanding dulu. Secara teknikalnya, telefon bimbit anda boleh dijangkiti virus ketika anda memindah turun program atau fail yang dijangkiti. Dalam kes telefon bimbit, ini mungkin terjadi apabila pengguna memindah turun gambar, klip video, nada dering, tema telefon atau program lain.

Virus mudah alih mampu merebak melalui telefon bimbit yang dilengkapi 'bluetooth' , contohnya menghantar foto dari telefon bimbit ke pencetak anda atau memindah maklumat kandungan yang disimpan dalam peranti anda. Jika anda menetapkan bluetooth kepada 'mod boleh dikesan' dalam peranti mudah alih anda dan berada di lingkungan 30 kaki dari peranti yang dijangkiti, ia boleh mengakibatkan telefon bimbit anda mengalami nasib tidak baik dihinggap virus.

Berikut adalah tip untuk membantu melindungi telefon bimbit daripada serangan virus:

# Hanya pindah turun atau menerima program dan kandungan (termasuk gambar, klip video, nada dering, tema peranti mudah alih dan permainan) daripada sumber yang anda percaya. Cadangan terbabit termasuk ketika melayari Internet atau menghantar e-mel. Jika anda tidak tahu dari siapa lampiran itu atau jika anda tidak menjangkakannya, jangan buka atau pindah turun dengan sewenang-wenangnya.

# Jika telefon anda dilengkapi dengan spesifikasi bluetooth, padamkannya atau tetapkan pada mod tidak boleh dikesan sewaktu anda tidak menggunakannya. Hanya terima data yang datang daripada sumber yang anda percaya. Untuk maklumat lanjut, lihat arahan yang disertakan dengan peranti mudah alih anda.

# Jika telefon anda dilengkapi dengan pancaran inframerah, hanya benarkannya menerima pancaran yang datang sewaktu anda menerima data dari orang yang anda percaya.

# Pindah turun dan pasangkan perisian antivirus bagi peranti mudah alih anda.

# Awasi telefon anda seperti mana anda menjaga dompet anda, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada pencuri.

# Kunci atau lindungi telefon bimbit dengan kata laluan yang melindungi peranti jika anda kehilangan telefon anda, pencuri itu akan mengalami kesukaran untuk membuat panggilan telefon atau mengakses maklumat peribadi yang mungkin anda simpan di dalamnya.

Pembangun kandungan terutama individu atau syarikat tempatan perlu menyediakan kandungan yang sesuai untuk masyarakat di negara ini bagi memberi kemudahan kepada mereka meneruskan budaya Malaysia menggunakan teknologi. Contohnya, jika pengguna di negara ini boleh menghantar kad perayaan menggunakan pos, mungkin pembangun mampu memikirkan kandungan telefon bimbit yang mempunyai kemudahan menghantar kad digital untuk semua perayaan.

Nada sama turut dicadangkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang meminta syarikat pembekal bahan kandungan perkhidmatan mudah alih menyediakan bahan yang melambangkan nilai dan budaya Malaysia.

Katanya ketika syarikat antarabangsa berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan dan kandungan bagi memenuhi keperluan baru, syarikat Malaysia perlu bertindak dengan cepat.

"Kandungan tempatan yang baik akan membantu dalam menentukan nilai dan budaya kita sentiasa segar untuk generasi akan datang," katanya.



Sumber : Harian Metro

Google perkenal telefon sendiri - Nexus One

MOUNTAIN VIEW, California 6 Jan. - Google Inc. mula menjual telefon sulungnya semalam, satu langkah yang dinanti-nantikan bertujuan melindungi empayar pengiklanan dalam taliannya ketika semakin ramai orang melayari Internet menggunakan telefon bimbit berbanding komputer peribadi.

Nexus One akan menyertai barisan kira-kira 20 telefon bimbit lain yang menggunakan Android, sistem operasi yang diperkenalkan Google pada 2007 untuk memudahkan hubungan dengan perkhidmatannya dan laman web lain sama ada dari rumah atau pejabat.

Google mereka bentuk telefon dengan skrin sesentuh ini dengan kerjasama syarikat Taiwan, HTC Corp., yang merupakan pengeluar pertama telefon berkuasa Android dan akan turut menghasilkan Nexus One.

Google akan menguruskan jualan dalam talian dan tiada rancangan untuk membolehkan pengguna meninjau telefon canggih itu dalam premis jualan biasa.


Nexus One sudah digunakan oleh pekerja Google sejak tiga minggu lalu, mencetuskan spekulasi media dan harapan dalam cubaan pertamanya mengeluarkan peralatan elektronik pengguna.

Berbanding popularitinya, Nexus One mungkin sedikit menghampakan kerana ia hanya mempunyai beberapa ciri tambahan daripada peralatan sedia ada dalam pasaran. Malah harganya pada AS$529 (RM1,789) mungkin mengurangkan minat pengguna dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya ini.

Langkah ini meningkatkan persaingan antara dua syarikat terbesar dalam Lembah Silikon iaitu Google dan Apple Inc., yang telah menjual lebih 30 juta iPhones sejak dua setengah tahun lalu.

Apple semalam mengumumkan untuk membeli perkhidmatan pengiklanan Quattro Wireless bagi berdepan dengan rancangan pemilikan AdMob oleh Google.

Kedua-dua pengumuman dibuat menjelang Pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa di Las Vegas minggu ini.

Google menyifatkan Nexus One sebagai telefon bimbit 'super' yang pertama dalam usaha meletakkannya di atas iPhone dan produk-produk lain seperti Blackberry keluaran Research In Motion Ltd. - AP
Related Posts with Thumbnails